Search This Blog

Friday, December 18, 2009

TIGA STRUKTUR PERSONALITI (ID, EGO DAN SUPER-EGO) - SIGMUND FREUD (1971)


1. Pengenalan

Id, Ego dan Super-Ego merupakan tiga elemen penting yang mempengaruhi struktur personaliti di dalam perkembangan diri manusia. Ketiga-tiga elemen ini mula mendapat tempat di dalam pengkajian perkembangan manusia apabila Sigmund Freud (1971) memperkenalkannya melalui Teori Psikoseksual. Sigmund Freud (1971) mempercayai bahawa desakan naluri semulajadi(inborn drives) telahpun bertapak di dalam diri manusia sejak dilahirkan, hingga mendorong kepada pembentukan konsep antirasionalisma di dalam setiap gerak geri dan tingkah laku manusia. Konsep ini mengklasifikasikan manusia sebagai tidak rasional, tidak sosial, dipengaruhi dengan desakan-desakan yang boleh merosakkan diri serta tidak berkemampuan menentukan hala tuju nasibnya. Malah, gerak geri dan tingkah laku manusia lebih terdorong oleh naluri kehaiwanan(animalistic instints) serta desakan-desakan biologikal.

Justeru, bagi merungkai isu pembentukan personaliti manusia berteraskan garapan nilai-nilai positif, Sigmund Freud (1971) berpandangan bahawa manusia haruslah melalui proses sosialisasi yang telah sedia wujud di dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Kegagalan manusia melalui proses ini, hanya akan menyaksikan kecelaruan yang boleh merosakkan peraturan-peraturan dalam pembentukan disiplin diri, institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Sebagai jalan keluar kepada konflik yang wujud di dalam diri manusia, Sigmund Freud (1971) mula memfokuskan kepada tiga elemen penting yang menjana pembentukan struktur personaliti manusia iaitu Id, Ego dan Super-Ego yang dilihatnya sering mempengaruhi antara satu sama lain dalam mengawal perlakuan manusia.


2. Takrifan Id, Ego Dan Super-Ego

2.1 Id

”Id” merupakan bahagian personaliti manusia yang tidak diorganisasikan, mentah dan bersifat neutral di dalam pemikiran seseorang. Ianya merupakan elemen struktur personaliti yang bertapak secara semulajadi, diwarisi dan telah sedia wujud sejak dilahirkan. Kepuasan swadiri secara mendadak(immediate gratification) akibat desakan biologi seperti memenuhi kehendak perasaan lapar, dahaga dan ransangan seks adalah antara gelaja-gejala yang ditangani secara semulajadi oleh ”Id”. Justeru, ”Id” dilihat sebagai sebagai suatu tenaga yang primitif, tidak teratur, tidak rasional serta berorientasikan memenuhi kehendak yang bertunjangkan kepuasan maksima. Malah, sebagai satu daya tenaga yang begitu primitif, ”Id” bolehlah diandaikan sebagai penggerak psikologikal yang tidak perlu dipelajari.

2.2 Ego

Berbeza dengan ”Id”, ”Ego” tidak wujud secara semulajadi, sebaliknya berkembang secara berperingkat, penuh dengan persepsi, menginginkan kemajuan diri serta berkemampuan menyesuaikan fungsinya mengikut isu dan persekitaran. Elemen ”Ego” mula bertapak dan berkembang melalui proses sosialisasi dan identifikasi diri dengan individu lain serta objek-objek yang wujud di persekitarannya selepas dilahirkan. Ianya juga dilihat sebagai elemen yang berkemampuan membuat keputusan, mengawal perlakuan, memberikan pertimbangan malah berupaya merungkaikan permasalahan dalam kehidupan. Kemampuan ini wujud dan terbentuk melalui pengalaman, proses sosialisasi dan kebolehan memanfaatkan tenaga pemikiran secara realiti. Justeru, ”Ego” disifatkan sebagai kuasa eksekutif dalam struktur personaliti yang beroperasi berlandaskan prinsip realiti dalam kehidupan.. Maka kerananya, ”Ego” sentiasa berusaha mencipta kepuasan dan mengelak kekurangan hidup secara rasional dan boleh diterima oleh masyarakat.

2.3 Super-Ego

”Super-Ego” merupakan elemen yang mengimbangi dan mengawal konflik antara ”Id” dan ”Ego”. Ianya berkemampuan mengenalpasti nilai-nilai positif dan negatif hasil proses sosialisasi kehidupan individu di dalam institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. ”Super-Ego” juga boleh disifatkan sebagai pemantau yang mengawal gerak geri dan perlakuan individu dalam mempraktikkan amalan dan larangan yang wujud di dalam kehidupan masyarakatnya. Perlakuan yang ideal dan moralistik adalah tunjang yang menjadi matlamat utama kepada peranan elemen ”Super-Ego” di dalam pembentukan personaliti manusia. Kenyataan ini di dasarkan kepada tanggungjawabnya menghalang individu mempraktikkan perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai positif, malah juga bertindak memotivasikan individu untuk mempraktikkan nilai-nilai yang boleh diterima oleh masyarakatnya.


3. Rumusan

”Id”, ”Ego” dan ”Super-Ego” merupakan tiga elemen penting yang membentuk struktur personaliti manusia. Ketiga-tiga elemen ini saling mempengaruhi antara satu sama lain hingga memberikan impak terhadap perlakuan individu di dalam kehidupannya. Malah, ”Id”, ”Ego” dan ”Super-Ego” juga dilihat berperanan merungkai misteri di sebalik konflik dan kecelaruan pembentukan personaliti dengan mengukur tahap elemen yang menguasai diri seseorang. Pengukuran kepada elemen-elemen ini boleh menyumbang kepada penentuan tanda aras kecenderungan manusia untuk mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan atau kehaiwanan.


Senarai Rujukan

Asmawati Desa. 1997. PSIKOLOGI untuk golongan profesional. Bangi. Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Jamiah Hj Manap. 2007. Pertumbuhan & Perkembangan Manusia. Bangi. Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, FSSK, UKM

Neil J. Salkind. 1985. Theories Of Human Development. John Wiley & Sons, Inc

William C. Crain. 1980. Theories Of Development. Englewood Cliffs, New Jersey

http://www.educ.upm.edu.my/~othman/modul3&4.htm

1 comment:

  1. tq 4 ur kind informations..i'm stuck btween the actual meaning of 'ego' n 'superego' by Frued but u had clear the air..thnx again..

    ReplyDelete