Search This Blog

Friday, December 18, 2009

MENGGALAKKAN PENYERTAAN AKTIF RAKYAT DALAM PENGGUBALAN DASAR



1.0 Pengenalan

’Dasar Awam’ merupakan medium yang menterjemahkan arah tuju tadbir urus pemerintahan sesebuah negara. Melaluinya, pihak pemerintah dapat mewujudkan ruang perkongsian keinginan, harapan dan impiannya bersama rakyat yang dipimpin berteraskan kepada kepentingan bersama. Biarpun dasar awam itu lebih menjurus kepada tindakan bermatlamat yang digubal oleh aktor-aktor politik, namun persoalan kebajikan dan kesejahteraan rakyat merupakan agenda yang harus menjadi keutamaan. Justeru, di dalam menggubal sesuatu dasar, pemerintah adalah bertanggungjawab untuk meletakkan asas yang kukuh terhadap persoalan kenapa dan mengapa sesuatu dasar itu diperkenalkan? Malah, persoalan-persoalan ini akan menjadi lebih rumit bagi negara-negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang bangsa, agama dan budaya.

Menyentuh persoalan kepelbagaian rakyat, Wan Azmi (2003) menegaskan bahawa ’proses penggubalan dasar menjadi rumit dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana sesuatu dasar perlu mengambil kira sentimen rakyat yang pelbagai’. Kepelbagaian ini menjadikan sesuatu dasar yang ingin diperkenalkan oleh pemerintah haruslah terlebih dahulu mengambilkira ’sensitivity’ dan kepentingan umum rakyatnya. Apa juga alasan yang cuba disandarkan, pemerintah sesebuah negara adalah tidak boleh tersasar dari ciri utamanya yang menggariskan asas penggubalannya bertujuan menyelesaikan masalah rakyat. Biarpun kuasa penggubalan itu terletak kepada pemerintah, namun suara rakyat tetap memberi impak yang cukup besar terhadap keberkesanannya. Kebergantungan antara pemerintah dan rakyat ini seakan satu ikatan yang memperkukuhkan matlamat penggubalan sesuatu dasar biarpun pelbagai takrifan cuba diberikan kepadanya.


2.0 Takrifan ’Dasar Awam’

Robert Eyeston (1971) mentakrifkan; ’dasar awam sebagai hubungan di antara unit-unit kerajaan dengan persekitarannya’. Berteraskan takrifan ini dasar awam dilihat menjadi penghubung antara Badan Pemerintah (Executive) melalui agensi-agensi yang wujud di bawahnya dengan persekitaran yang boleh memberi impak terhadap tadbir urus, merangkumi segala aspek di dalam kehidupan individu dan masyarakat.

Manakala, Thomas R Dye (1992) pula menjelaskan bahawa dasar awam sebagai; ’apa sahaja pilihan kerajaan untuk berbuat sesuatu atau tidak mahu melakukannya’. Takrifan ini meletakkan apa sahaja tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pembuat dasar (pemerintah) merupakan suatu dasar. Begitu juga halnya, jika kerajaan membuat keputusan untuk tidak berbuat apa-apa berhubung sesuatu isu atau desakan.

Bagi Golembiewski (1977), ’dasar awam adalah sesuatu yang selalu dirujuk sebagai maklumbalas terhadap sesuatu permintaan yang dikemukakan oleh kumpulan yang berkepentingan supaya sesuatu perkara yang ditimbulkan akan diselesaikan dengan segera’. Takrifan ini meletakkan suara kepentingan umum sebagai keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh pemerintah.


3.0 Suara Rakyat Dalam Penggubalan Dasar

’Dasar Awam’ sering dilihat pincang andai pelaksanaannya adalah tanpa mengambilkira keperluan dan penerimaan rakyat terhadap sesuatu isu. Keutamaan mendengar suara rakyat bukan sekadar teras yang menjamin pengukuhan dan pengekalan kuasa pemerintah, malah ianya juga merupakan antara elemen penting yang termaktub di dalam perlembagaan (undang-undang agung) kebanyakan negara dunia. D. Robertson (1993) dengan pendapatnya menegaskan bahawa ’perlembagaan mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autoriti awam dalam sesebuah negara, dan antara autoriti awam dengan rakyat’.

Menyesuaikan sesuatu dasar itu dengan perubahan, menjadikan pandangan rakyat itu sentiasa subur dan diperlukan mengikut kehendak-kehendak semasa. Healy, R.G. & Ascher, W. (1995) menegaskan bahawa ’disebabkan ia bersifat dinamik, maka dasar awam sentiasa berubah-ubah mengikut nilai-nilai masyarakat dan kepimpinan mengikut masa. Oleh yang demikian, ia perlu dibentuk supaya sesuai dengan ciri-ciri dan keperluan semasa negara. Pada masa yang sama penggubalan dasar awam merupakan satu proses yang kompleks kerana ia melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam membuat keputusan.


4.0 Strategi Menggalakkan Penyertaan Rakyat

4.1 Pengukuhan Amalan Demokrasi

Demokrasi yang ditakrifkan oleh Edward Hymas (1973) sebagai ’kekuasaan rakyat’ dilihat begitu berperanan menyediakan ruang untuk menggalakkan penyertaan rakyat di dalam penggubalan dasar sesebuah negara. Kenyataan ini diperkukuhkan dengan pandangan Robert A. Dahl (1983) yang menyifatkan demokrasi sebagai ’suatu sistem yang memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam menentukan keputusan dan pembentukan dasar’. Begitu juga dengan pendapat Barry Holden (1974) yang menganggap demokrasi sebagai ’suatu sistem politik di mana seluruh rakyat secara positif mahupun negatif diberi hak untuk membuat keputusan dasar berhubung perkara-perkara penting yang menyentuh soal polisi awam’.

Justeru, ideologi pemerintahan yang bertunjangkan konsep demokrasi merupakan pemangkin yang cukup berkesan menggalakkan penyertaan rakyat di dalam menggubal sesuatu dasar. Bersesuaian dengan sifatnya yang meletakkan kekuasaan rakyat sebagai teras ideologi, demokrasi membolehkan rakyat berperanan menyatakan pandangan, persetujuan atau keengganan menerima sesuatu dasar. Berbanding dengan ideologi lainnya seperti komunisme, fasisme dan sosialisme, demokrasi menjadikan kuasa rakyat sebagai sumber kuasa pemerintah dan megah dengan slogannya ’dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat. Namun, amalan demokrasi bukanlah sesuatu yang boleh diukur berdasarkan slogan dan laungan-laungan retorik di pentas politik semata-mata, sebaliknya haruslah dilihat dari sudut praktikalnya.

Kebebasan bersuara, berkumpul, berpesatuan dan kebebasan media umpamanya masih menjadi persoalan yang sering mencorakkan amalan demokrasi di kebanyakan negara, termasuklah Malaysia. Sekatan-sekatan perundangan melalui penguatkuasaan undang-undang keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), Akta Rahsia Rasmi(OSA), Akta Hasutan dan Akta Universiti Dan Kolej Universiti(AUKU) menjadikan amalan demokrasi di Malaysia sesuatu yang masih menjadi pertikaian dan membantutkan penyertaan rakyat dalam menggubal sesuatu dasar. Justeru, pengukuhan kepada amalan demokrasi berteraskan kepada suara dan kepentingan rakyat haruslah menjadi agenda utama dalam menyusun strategi menggalakkan penyertaan rakyat meggubal dasar.

4.2 Menjana Pembentukan K – Masyarakat(Knowledge Society)

Pembentukan K-Masyarakat (Knowledge Society) juga dilihat merupakan antara strategi utama yang wajar diberi keutamaan sebagai langkah menggalakkan penyertaan rakyat di dalam proses penggubalan sesuatu dasar. Masyarakat berpengetahuan merupakan aset yang cukup berharga di dalam menjayakan agenda pembangunan dan arah tuju tadbir urus sesebuah negara. Bagi merealisasikannya, John (2001) menggariskan ciri-ciri K-Masyarakat hendaklah terdiri dari ’mempunyai etika dan nilai moral yang kukuh, mempunyai kawalan kendiri (self-regulating) dan pengurusan kendiri (self managing), mempunyai kuasa kerana maklumat dan pengetahuan, berasaskan konsep ’dignity of humankind’ atau maruah bangsa’. Sementara Evers (2001) pula menggariskan ciri-cirinya sebagai ’anggota masyarakat yang mempunyai piawaian pendidikan yang lebih tinggi berbanding masyarakat lain’.

Justeru, keutamaan menyediakan masyarakat berpengetahuan, berdaya saing dan berketerampilan sebagaimana ciri-ciri yang digariskan, merupakan suatu landasan terbaik ke arah melahirkan masyarakat yang berkemampuan menyumbang idea-idea pembentukan dasar bagi memenuhi keperluan kehidupan bernegara. Kewujudan K-Masyarakat juga merupakan asas penting yang mampu mencetuskan pembentukan masyarakat sivil (Civil Society) yang lebih autonomous sifatnya serta bebas dari ikatan dan pengaruh pemerintah dengan menjadikan agenda kepentingan awam sebagai asas menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu tanpa membiarkan tanggungjawab tersebut terletak di bahu elit-elit pemerintah semata-mata. Malah penyediaan K-Masyarakat tidak hanya sekadar menjadi sumber pemerintah mendapatkan idea-idea penggubalan dasar, tetapi juga turut menjadi aset yang boleh digemblengkan untuk membangunkan negara.

4.3 Memanfaatkan Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT – Information And Communications Technology)

Revolusi sains dan teknologi di bidang komunikasi menyaksikan penggunaan komputer, internet, kamera digital dan telefon selular telah memberi impak yang cukup besar terhadap hubungan sesama manusia secara individu mahupun secara kolektif. Perubahan pantas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT - Information And Communications Technology) telah berjaya mengubah cara dan jangka masa manusia membuat, melaksana dan mengunjurkan keputusan mengenai pelbagai isu politik, ekonomi dan sosialnya. Justeru, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi haruslah menjadi sesuatu yang mampu dimanfaatkan secara berkesan di dalam menggalakkan penyertaan rakyat bersama-sama pemerintah membina kemakmuran dan membangunkan negara. Kegagalan memanfaatkannya hanya akan menyaksikan masyarakat dan negara terbabit akan terus mundur dan ketinggalan di persaingan arus perdana.

Hagen (1972) menegaskan bahawa ’teknologi dapat dijadikan ukuran kemajuan sosiobudaya yang akan membezakan tingkat pemodenan sesuatu masyarakat dengan masyarakat lain’. Selaras dengan kemudahan yang disediakan melalui teknologi maklumat dan komunikasi, usaha-usaha menggalakkan penggunaannya sebagai medium penyertaan rakyat dalam penggubalan dasar haruslah turut menjadi suatu agenda kepada pemerintah. Kepentingan medium ini juga dilihat begitu menonjol berdasarkan kemampuannya menggalakkan penyertaan aktif rakyat berbanding secara bersemuka. Mengulas mengenai perkara ini, Lerner & Tirole (2000) berpendapat ’teknologi maklumat dan komunikasi, khususnya melalui komuniti siber menyediakan peluang kepada ahlinya yang sukar menonjolkan diri ketika bersemuka dengan ketuanya menyatakan pendapat. Kewujudan komuniti siber telah memberi mereka saluran alternatif dalam menyalurkan pendapat terhadap sesuatu perkara yang diusulkan’.

Pendekatan konsep Kerajaan Elektronik (e-Goverment) misalnya merupakan suatu langkah bijak ke arah menggalakkan penyertaan rakyat untuk bersama-sama membentuk dasar-dasar negara. Pendekatan ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian perkhidmatan agensi-agensi kerajaan, malah interaksi dua hala yang wujud menerusi laman web, e-forum dan e-komuniti yang diperkenalkan membolehkan pandangan rakyat dinilai berhubung sesuatu isu atau perkhidmatan. Kepantasan penghantaran maklumat dan maklumbalas melalui medium ini membolehkan matlamat penggubalan sesuatu dasar itu menjadi lebih efisyen, malah turut memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Malah, apa yang lebih penting ialah penglibatan rakyat melalui pendekatan ini tidak hanya tertumpu kepada pandangan oleh badan-badan politik atau pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan semata-mata, tetapi juga turut menarik minat orang perseorangan dalam menyatakan pandangan mereka.

4.4 Desentralisasi Kuasa Kerajaan Tempatan

Bagi menangani isu-isu peringkat tempatan, penurunan kuasa atau pemberian kuasa yang lebih meluas kepada Kerajaan Tempatan merupakan suatu langkah yang mampu menggalakkan penyertaan rakyat di dalam menggubal dasar-dasar kerajaan. Bersesuaian dengan peranannya di peringkat tempatan, Kerajaan Tempatan wajar mempunyai kuasa pemutus dan penentu di dalam menangani isu-isu setempat, malah kuasa penggubalan dasar-dasar peringkat tempatan juga wajar dipertimbangkan. Berhubung persoalan ini, Rondinelli & Cheema (1983) berpendapat desentralisasi sebagai ’the transfer of planning, decision making, or administrative authority from the central goverment to its field organizations, local government, or non governmental organizations’. Penurunan kuasa ini akan membolehkan Kerajaan Tempatan menangani isu-isu setempat dengan lebih berkesan dan bertepatan dengan keperluan-keperluan masyarakat tempatan.

Pendekatan ini membolehkan usul-usul masyarakat setempat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan tanpa perlu merujuk keputusan di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Situasi ini, tentunya akan mendorong penyertaan lebih banyak individu dan pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan untuk bersama-sama berperanan membangunkan kecekapan tadbir urus Kerajaan Tempatan, seterusnya menjana agenda pembangunan negara. Malah pendekatan ini dinyakini tidak terhenti sekadar menggalakkan penyertaan, sebaliknya masyarakat tempatan akan turut terlibat mengawal dan mempertahankan penggubalan dasar yang dipersetujui bersama. Berbanding dengan Kerajaan Persekutuan, peluang berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat membolehkan Kerajaan Tempatan mengenalpasti isu-isu penting yang wajar diberi keutamaan samada oleh Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Justeru, desentralisasi kuasa Kerajaan Tempatan juga harus dilihat sebagai langkah yang mempunyai potensi menggalakkan penyertaan rakyat menggubal dasar biarpun ianya lebih bersifat tempatan.

4.5 Advokasi Media

Peranan media di dalam mempengaruhi khalayaknya bukanlah suatu perkara baru yang perlu dibahaskan. Terlalu banyak kajian yang dijalankan oleh para sarjana membuktikan pengaruh media dalam membentuk tingkah laku khalayak. Lasswell (1971) menegaskan bahawa media berperanan sebagai ’pengawas persekitaran, penyelaras komponen dalam masyarakat dan penurun warisan nilai atau kebudayaan’. Manakala McQuail (1987) mentakrifkan peranan media sebagai ’penyebar kempen’. Kekuatan pengaruh media menjadikan medium ini sebagai begitu penting dan tidak wajar dipinggirkan dalam usaha menggalakkan penyertaan rakyat menggubal dasar-dasar kerajaan.

Kepentingan ini diterjemahkan oleh Wallack, L (1990) dengan melihat kepada advokasi media sebagai ’media advocasy is the strategic use of mass media to advance social or public initiatives’. Justeru, bagi menjayakan hasrat pemerintah untuk menggalakkan penyertaan rakyat di dalam menggubal dasar-dasar pemerintahan, media khususnya media arus perdana haruslah secara aktif berperanan membangunkan kesedaran awam berhubung kepentingan pandangan dan penyertaan mereka di dalam proses penggubalan dasar-dasar negara. Berteraskan kepada prinsip tanggungjawab sosialnya, agenda membangunkan kesedaran ini haruslah menjadi keutamaan tanpa melihat kepada orientasi keuntungan perniagaan semata-mata.

Seandainya tanggungjawab ini terlaksana, maka media tidak lagi sekadar menjadi medium penyebaran maklumat dan pembujukan, malah juga boleh berperanan sebagai medium penyataan pandangan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan. Program-program seperti forum, diskusi, temubual dan pendekatan yang membabitkan interaksi dengan khalayak akan menjadi antara pendekatan terbaik menggalakkan penyertaan rakyat menggubal dasar.

4.6 Pendidikan

Strategi pendidikan juga merupakan suatu pendekatan penting di dalam menggalakkan penyertaan rakyat untuk bersama-sama pemerintah mencorakkan dasar-dasar negara. Rakyat harus didedahkan dengan kepentingan menyatakan idea serta jalan keluar terhadap sesuatu isu demi kebaikan bersama. Strategi ini boleh dijayakan melalui sistem pendidikan, pendekatan kempen, latihan, sesi dialog, dan pelbagai program-program kemasyarakatan. Kesedaran berhubung tanggungjawab ini bakal mewujudkan masyarakat yang peka dengan keperluan semasa, di samping memupuk nilai-nilai kecintaan dan kesetiaan kepada negara yang perlu dipertahankan bersama.

Malah, melaluinya pembentukan dasar-dasar negara bukan sekadar memenuhi keperluan kehidupan bernegara, malah ianya juga merupakan sesuatu yang dikongsi, diusahakan dan dikecapi bersama antara rakyat dan pemerintah. Biarpun strategi pendidikan bukanlah jawapan kepada persoalan penyertaan masyarakat secara total, namun ianya tetap merupakan jalan keluar kepada kebergantungan terhadap pemerintah semata-mata untuk menggubal dasar. Masyarakat yang terdidik, berpengetahuan dan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab kepada negara tentunya tidak akan membiarkan dasar-dasar yang digubal boleh membawa kehancuran kepada negaranya.

4.7 Pilihanraya Telus, Bersih Dan Adil

Pilihan raya merupakan suatu mekanisme politik yang penting di dalam sistem pemerintahan demokrasi, di mana sistem ini memberi kuasa kepada rakyat untuk mengekalkan pemerintahan sedia ada atau sebaliknya. Melaluinya, suara rakyat diterjemahkan melalui undi menyokong atau menolak seseorang calon mewakili sesebuah parti yang bersaing di dalam memikat hati rakyat. Mengambikira ciri-ciri ini, Barry Holden (1974) berpendapat ’pilihanraya merupakan suatu sistem atau cara yang paling demokratik bagi mewakili suara mutlat rakyat’. Selanjutnya, perwakilan yang dipilih oleh rakyat merupakan agen dalam menyampaikan hasrat dan kehendak rakyat di dalam membentuk dasar-dasar pemerintahan negara.

Menyentuh tentang peranan perwakilan, Harold F. Gosnell (1977) berpendapat ’perwakilan sebagai individu yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya bagi mewakili suara mereka. Perwakilan yang dipilih hendaklah bebas kerana ia menguasai perasaan majoriti rakyat dan haruslah mendengar segala pandangan rakyat yang diwakilinya serta mempertimbangkan untuk diajukan kepada pihak yang berwajib’. Justeru, penyertaan rakyat dalam penentuan dasar-dasar pemerintahan bolehlah diterjemahkan melalui peranan yang dimainkan oleh perwakilan yang dipilih. Walau bagaimanapun, penyertaan rakyat melalui sistem ini akan menjadi pincang andai pilihanraya yang diadakan dicemari dengan penipuan dan penyelewengan. Justeru, pilihanraya yang telus, bersih dan adil juga merupakan asas penting yang mencerminkan penglibatan dan sokongan rakyat terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pemerintah.


5.0 Rumusan

Penggubalan ’Dasar Awam’ boleh dianggap sebagai medium yang mengikat dan menyuburkan hubungan antara pemerintah dengan rakyat. Bercirikan ’menyelesaikan masalah rakyat’ maka penyertaan rakyat di dalam menggubal sesuatu dasar awam itu menjadi antara elemen terpenting di dalam proses penggubalannya. Tanpa penyertaan rakyat tentulah dasar yang digubal boleh menjadi pincang, malah mungkin jauh tersasar dari matlamat penggubalannya. Justeru, penyertaan rakyat itu perlu dilihat sebagai suatu keperluan dan bukannya ancaman kepada pemerintah.



Rujukan


Abdullah Sanusi Ahmad. 1987. Kerajaan Pentadbiran Dan Rakyat. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ahmad Atory Hussain. 2000. Analisis Dasar Awam. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Atory Hussain. 2001. Pengantar Pentadbiran Awam, Paradigma Baru. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Atory Hussain. 1992. Politik Dan Dasar Awam Malaysia. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ghazali Mayudin, Jamaie Hamil, Sity Daud & Zaini Othman. (sunt.) 2006. Demokrasi, Kepimpinan dan Keselamatan dalam Politik Malaysia. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

INTAN. 1991. Malaysia Kita. Kuala Lumpur. Institut Tadbiran Awam Negara.

Kamarudin Ngah. 1991. Pengenalan PENYERTAAN AWAM. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sabitha Marican. 1997. Dasar Awam Di Malaysia, Isu Dan Konsep. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Wan Azmi Ramli. 1993. Dasar Awam Di Malaysia, Jilid 1. Kuala Lumpur. Golden Books Centre Sdn. Bhd.

Wan Azmi Ramli. 1991. Perhubungan Awam Di Malaysia. Petaling Jaya, Selangor. Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Ziti Norazila Mahshar, Roslen Jati Jeffery Sut, Shamsudin Puteh, Nor Azian Shaari.(sunt.) 2006. Malaysia 2006. Kuala Lumpur. Jabatan Penerangan Malaysia

3 comments:

  1. wahh...betol2 dasar awam ni..teringat nota2 dan assignment kuliah waktu di UKM..hehe..:)

    ReplyDelete
  2. hehe kenangan lalu yg sentiasa menggamit kerinduan

    ReplyDelete
  3. masa lalu semakin pjg meninggalkan jauh catatan kenangan..kan? tapi tetap disini..*dihati*..:)

    ReplyDelete